Keunikan sejarah Sompoton,dan cara buat yang unik


Artikel kali ini saya akan berkongsi tentang alat muzik tradisional Sompoton. Bagi mereka yang tidak kenal maksud Sompoton, alat Sompoton adalah sejenis alat muzik tradisional yang diperbuat daripada sumbiling (bambu) dan juga labu pahit. Maklumlah,tak semua pembaca saya dari sabah ,malahan ada saudara dan sahabat saya dari semenanjung ingin tahu apa maksud sompoton.

Ok,baiklah, kita terus masuk tajuk asal kita tentang sompoton. Di negeri Sabah, alat muzik sompoton dimainkan oleh suku kaum Kadazan dusun. Sompoton merupakan alat muzik tradisional Kadazandusun dari kategori erofon yang bunyinya dihasilkan melalui hembusan atau tiupan.

Selain itu,Sompoton juga ialah sejenis organ mulut ataupun mouth organ yang popular di kalangan suku kaum Dusun dan Kadazan. Ianya dikatakan mempunyai kaitan rapat dengan ‘khene’ sejenis organ mulut yang terdapat di Negara Laos.

Alat muzik ini juga dikatakan berasal dari Kampung Tikolod,daerah Tambunan di negeri Sabah. Alat muzik ini juga merupakan alat muzik terawal yang menghasilkan harmoni iaitu muzik polifonik. Sompotan ini hampir-hampir menyerupai Engkerurai di negeri Sarawak.

Fungsi Sompoton

Pada suatu ketika dahulu, sompoton dimainkan di majlis keagamaan namun kini penggunaan alat muzik ini sudah diperluaskan di mana ia juga dimainkan di majlis perkahwinan dan juga keramaian. Sompoton boleh dimainkan secara individu dan juga secara berkumpulan bersama-sama alat muzik moden dan alat muzik bambu yang lain seperti bungkau dan marakas.

Biasanya sompoton dimainkan secara duduk, manakala semasa membuat persembahan pentas, biasanya dimainkan secara berdiri secara solo atau berkumpulan. Ketika mengiringi tarian Sumazau, Pemain biasanya turut mengikut rentak tarian agar kesemua pemain dan penari dapat bersatu menghasilkan persembahan yang menarik.

Sejarah Sompoton

Sejarah sompoton adalah kisah yang di turunkan secara lisan dari ibu bapa kepada anak dan seterusnya di perturunkan ke generasi seterusnya. asal-usul kewujudan alat muzik sompoton di negeri Sabah, didapati berlainan mengikut kawasan dan daerah masing-masing. Kisah yang akan diceritakan ini berasal dari Kampung Libang Nukakatan Garas di Daerah Tambunan. Pada suatu ketikat dahulu dikampung ini terdapat sepasang suami isteri iaitu Gobou dan suaminya Lombohon. Pasangan ini dikurniakan dengan enam orang anak lelaki dan perempuan iaitu Monongkol, Suruk, Baranat,Ronom, Tuntuduk dan juga Tinaggal. Keluarga besar ini amat disenangi oleh penduduk kampung kerana sikap ramah dan kebaikan Gobou, walaupun beliau seorang yang bisu.

Namun demikian, kebahagiaan keluarga ini tidak berpanjangan. Hubungan mereka semakin renggang lantaran kesibukan Lombohan mengerjakan sawah bendang (Tumoh) dan anak-anaknya pula sibuk menguruskan rumah tangga masing-masing. Keadaan ini menyebabkan ibu mereka Gobou merasa tersisih hingga beliau berubah sikap menjadi seorang yang pendiam dan murung. Lombohan yang menyedari keadaan ini cuba untuk memperbaiki keadaan isterinya namun tidak berjaya. Pada suatu hari sedang Lombohon berehat di sawah, tiba-tiba dia terdengar satu bunyi yang merdu dan bunyi tersebut kedengaran lagi buat beberapa kali apabila angin bertiup kencang. Lombohon cuba mencari arah bunyi tersebut dan akihirnya dia berjaya menemui puncanya iaitu dari sebatang bambu yang telah patah. Lombohon tertarik dengan bunyi yang dikeluarkan dari bambu itu lalu mencabutnya untuk dibawa pulang dan memacakkan batang bambu itu dihalaman rumahnya.

Gobou yang sedang termenung di beranda meras terpegun di beranda merasa terpegun setelah mendengar kemerduan bunyi yang didengarinya. Tanpa disangka, Gobou yang selama ini bisu dengan tiba-tiba bertanya Lombohan dari mana datangnya bunyi itu. Lombohon merasa terkejut kerana isterinya sudah boleh bersuara dan merasa gembira kerana bambu itu membantu memulihkan isterinya. Semenjak kejadian itu, Gobou tidak lagi bisu dan kembali ceria. Hubungan kekeluargaan mereka juga semakin pulih. Akhirnya salah seorang daripada cucu Gobou yang bernama Sompot berjaya mencipta mencipta alat muzik berdasarkan alat muzik bambu yang dinamakan sompoton sempena nama Sompot dan setiap sumbiling.

Ciri ciri dan bahan untuk buat Sompoton

Sompoton diperbuat daripada beberapa batang ataupun pipa buluh kecil dari jenis ‘sumbiling’ yang dipotong mengikut ukuran yang diperlukan.
Diperbuat dari labu air yang telah dikeringkan. Lapan batang buluh kecil disusun dalam dua lapisan dan dimasukkan kebahagian buah labu tersebut dengan menebuk. Gam kelulut digunakan untuk melekatkan batang-batang buluh tersebut juga untuk menahan angin dari keluar melalui celah-celah buluh apabila tiupan dilakukan. Salah satu daripada buluh ini tidak berfungsi hanya untuk memperseimbangkan kedudukan bentuk alat tersebut. Beberapa kepingan kecil plat buluh diletakkan pada dasar tiap-tiap tepian buluh untuk menghasilkan bunyi mengikut kod muzik yang telah ditentukan.

Ia terdiri daripada 8 batang buluh yang diikat dengan rapi seperti bentuk rakit dan diselit masuk ke dalam labu(koburu).Batang buluh itu dikukuhkan dengan menggunakan lilin lebah.Sompoton ini disusun dalam dua barisan yang dimana satu baris mengandungi empat batang.Sompoton juga mempunyai rid pada semua batang buluh dan terdapat tiga lubang jari pada alat muzik ini.

Untuk membuat sompoton, bahan-bahan seperti kurobu (labu liar), sopilut (gam lebah jinak) , sumbiling (buluh renik), polod (kulit pokok palma liar), tolinting (pokok paku menjalar). Labu ditebuk mengikut ukuran diameter bambu yang digunakan sebagai paip. Pada pangkal paip ini, sebuah lubang segi empat tepat berukuran 2cm ditebuk. Disinilah sodi itu di tekap dan digam dengan sopilut.

Sodi yang paling sesuai berukuran 2.3 cm. Untuk membentuk lidah, pisau yang tajam digunakan. Lidah penggetar dibuat ditengah-tengah sodi. Hujung lidah ditebalkan manakala permukaan pangkal dikikis hingga boleh melentur apabila ditiup. Tinggi rendahnya tonik adalah mengikut ketebalan bahagian permukaan hujung dan pangkal. Ukuran paip buluh juga mempengaruhi perubahan tonik bunyi. Peraturan yang harus diingati ialah jika paip terlalu panjang sodi langsung tidak berbunyi.

Panjang paip bahagian jejari kiri adalah kira-kira 34 cm manakala jejari-jejari kanan berukuran 24 cm. Diameter yang sesuai untuk dijadikan jejari ialah 12 mm. Setelah hujung paip ditebuk, sodi ditekap ke atas lubang yang disediakan. Sopilut digunakan untuk menggam pinggir kelilingnya serta pada celah-celah bukaan kurobu. Beberapa paip dimasukkan ke lubang labu dan digam dengan sopilut pada celah-celah keliling bahagian luar agar udara yang dihembus hanya keluar melalui sodi-sodi untuk menghasilkan bunyi.

Tonik sompoton adalah jenis pentetonik. Ia hanya mempunyai tujuh nada. Disebelah kiri, kita gunakan tiga jari untuk menutup lubang paip bagi menghasilkan bunyi. Di sebelah kanan kita juga menggunakan tiga jari. Ketika hendak mengeluarkan bunyi, jari-jari dialih dari lubang paip kecuali ibu jari kanan yang digunakan untuk menutup paip pertama. Sebatang paip panjang di bahagian kiri yang merupakan paip ketujuh sentiasa berbunyi. Sebatang paip langsung tidak dipasang dengan bahan getar bunyi dan ia hanya berfungsi sebagai pengapit supaya kedudukan susunan paip-paip bambu itu berbentuk segi empat.

Cara main Sompoton

Untuk membunyikan sompoton ini,lubang jari harus ditutup untuk menghentikan bunyi,tutup lubang atas keempat-empat buluh pendek.Salah satu batang buluh yang panjang tidak menghasilkan bunyi dengan memastikan ikatan buluh tersebut tidak bergerak.Terdapat tiga cara asas memegang.
1.berdiri-dipegang tegak/menyendeng ke arah kanan pemuzik
2.baring-bahagian panjang disandar pada bahu kiri
3.duduk-buluh panjang diatas peha.

Pemain boleh meniup atau menyedut mulut labu dengan menutup dan membuka tiga daripada empat buluh terpendek pada hujungnya dengan tiga kecil pada dasar buluh terpendek serta hadapan dan belakang paip yang lebih panjang dengan jari tangan kiri. Ianya akan mengeluarkan nada yang bergetar dan menghasilkan satu bunyian harmoni yang merdu. Kaedah penipuan juga menggunakan teknik ‘menghembus’ serta ‘menyedut’ untuk menghasilkan bunyi menggunakan teknik penjarian yang teratur pada lubang-lubang petik yang telah sedia ditebuk untuk menghasilkan pic suara yang berbeza-beza dan berharmoni. Sompoton juga menggunakan system ‘free reed’ yang tunggal sebagai bahan bunyinya

Pada masa kini, alat muzik Sompoton telah mengalami proses revolusi, iaitu terdapat beberapa pembuat sompoton di negeri Sabah telah menjadikan Sompoton ini membentuk skala muzik barat yang mempunyai lapan siri not, iaitu DO RE MI FA SO LA TI DO. Sompoton sandad hanya boleh memainkan lagu-lagu yang dicipta menggunakan skala pentatonik sahaja kerana analisis nada alat ini hanya untuk SO LA DO RE MI SO LA. Kebanyakan lagu tradisional Kadazandusunjuga banyak menggunakan skala pentatonik dalam gubahan melodinya. Contoh lagu yang biasa dimainkan adalah lagu Kasakazan Do Bambaazon, Pensiangan, Sayang Kinabalu, Tanak Kampung dan sebagainya.

Bermaksud, dahuluya sompoton sandad cuma dapat memainkan lagu-lagu yang dicipta dengan menggunakan skala major pentatonik sahaja. Namun, Sompoton pada masa kini sudah boleh memainkan lagu-lagu yang dicipta menggunakan skala major Barat. Alat muzik sompoton yang merupakan simbol kepada masyarakat Kadazandusun ini menjadi perhatian ramai pengajar untuk mempertahankan nilai astetiknya. Malius (2013) telah mencipta dan mengembangkan sompoton ini dan dinamakan sebagai Iramaton yang mempunyai 14 lubang lengkap.

Tokoh Sompoton

Tokoh sompoton yang dipilih untuk artikel ialah En.Thadius Yongut. Beliau dilahirkan di rumah neneknya di Kampung Tikolod, Tambunan pada 8 September 1945. Hobi beliau adalah membuat dan bermain alat muzik tradisional secara sepenuh masa. Jumlah adik-beradik beliau adalah seramai 2 orang dan beliau merupakan anak yang pertama. pendidikan awal pertama beliau ialah di Sekolah Kebangsaan Tikolod Tambunan sehingga darjah lima. Beliau tidak meneruskan pendidikannya sehingga darjah 6 kerana faktor ekonomi dan keadaan keluarganya tidak yang berkemampuan pada masa itu. Seterusnya, beliau melanjutkan pula pengajiannya ke Sekolah Menengah Kebangsaan Nambayan Tambunan. Beliau seterusnya menumpukan bidang muzik dalam pembuatan alat alat muzik tradisional. beliau tidak pernah bekerja dengan mana-mana pihak dan sehingga kini beliau hanya bekerja sendiri dengan membuat dan membekal alat-alat muzik tradisional. Jika mendapat tempahan, beliau akan membuat dan membekal alat-alat muzik tradisional masyarakat Kadazandusun seperti Sompoton, Bungkau, Suling, Tongunggak, Kurunggu, Tungkawir, Sundatang, Tongkungon, Tokubung dan Kulintangan.

Pencapaian-pencapaian yang dibanggakan oleh anak jati diri sabah ini dalam bidang muzik tradisional adalah dalam tahun 1984 hingga tahun 2014 ialah beliau mendapat jemputan-jemputan khas untuk ke negeri luar bagi melakukan persembahan dan demo untuk alat muzik tradisional masyarakat Kadazandusun. Jemputan khas ke Brunei adalah pada tahun 1986, ke Singapura adalah pada tahun 1991, ke Kuala Lumpur pada 1994 dan ke Melaka adalah pada tahun 1999. Pihak-pihak yang telah memberi jemputan kepada beliau ialah Yayasan Sabah, Muzium Sabah, Pelancongan dan Kebudayaan, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia dan juga Kadazandusun Cultural Association. Ekoran daripada jemputan-jemputan untuk membuat persembahan dan juga demo untuk alat muzik tradisional itu, beliau telah mendapat anugerah-anugerah penghargaan yang berbentuk sijil dan juga duit.

Selain pencapaian beliau seperti menghadiri jemputan-jemputan yang diterima, beliau juga pernah menyertai pertandingan-pertandingan yang diadakan seperti pertandingan bermain alat muzik dan pertandingan membuat alat muzik. Pertandingan bermain alat muzik telah diadakan di Kundasang, Ranau pada tahun 1999 yang telah dianjurkan oleh Jabatan Kesihatan dari Tambunan. Alat muzik tradisional yang beliau mainkan ialah Suling dan juga Bungkau.

Beliau telah merangkul gelaran sebagai naib johan dalam pertandingan tersebut dan menerima anugerah yang berbentuk duit dan juga sijil. Manakala pertandingan pembuatan alat muzik pula telah diadakan di Tambunan Village Resort Center (TVRC) pada tahun 1998. Pertandingan ini dianjurkan oleh Jabatan Perhutanan dan di dalam pertandingan ini, beliau mendapat tempat pertama dan menerima anugerah yang berbentuk wang dan juga sijil.

Asnan Hamdin

Seorang yang suka menulis berkaitan Sabah dan original Sabahan, tentunya. Di blog ini, penulisan beliau fokus pada tempat menarik di Sabah agar dapat memperkenalkan Sabah kepada non-Sabahan. Boleh hubungi di asnan86@gmail.com

Recent Posts